Majlis ini akan diadakan pada 13 Ogos 2008 bersamaan 11 Syaaban 1429H sebagaimana butiran berikut :
Majlis Perasmian dan Ceramah Perdana Hududullah akan diadakan di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan bermula jam 8.30 pg. Insya Allah, ucaptama dan perasmian akan disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar Kelantan. Manakala Ceramah Perdana akan disampaikan oleh Dr. Badrul Amin Bahron (bekas pensyarah UIA) yang akan menghuraikan tema sambutan kali ini, iaitu Hududullah Pemangkin Kemakmuran Negara.
Pada masa yang sama, Pameran Undang-Undang Jenayah Syariah juga akan berlangsung di foyer Dewan Besar Balai Islam Lundang. Pameran yang bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai Undang-Undang Jenayah Islam dijangka akan turut disertai oleh beberapa agensi kerajaan seperti PDRM, Jabatan Penjara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kesihatan dan JAHEAIK sendiri.
Majlis ini dijangka berakhir jam 1.00 petang dengan jamuan makan tengahari untuk semua tetamu jemputan dan orang awam.
Pada sebelah malam pula, bermula 9.00 mlm, akan diadakan Forum Perdana Hududullah bertempat di Dataran Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Bharu. Ahli panel forum yang dijangka menghangatkan sesi ini ialah Dato' Md. Salleh Hj. Ahmad (Timb. YDP Persatuan Ulama' Malaysia/Fellow Kanan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIA), saudara Mohamed Hanipa Maidin (peguam/AJK PAS Pusat) dan Dr. Badrul Amin Bahron (bekas pensyarah UIA). Forum akan dipengerusikan oleh Tn Hj Saibon Ismail daripada JAHEAIK. Forum ini turut akan mengupas tema sambutan program ini, iaitu HUDUDULLAH PEMANGKIN KEMAKMURAN NEGARA.